Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-20, Tahun 2025 di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
Berangkat sama pada majlis sambutan tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-20, Tahun 2025 dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-20, Tahun 2025 dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-20, Tahun 2025.
Pada majlis tersebut juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Ikrar Belia yang dibacakan oleh seramai 100 belia yang mempunyai pencapaian dalam pelbagai bidang, termasuk empat belia Kelainan Upaya.
Bacaan Ikrar Belia diketuai oleh Pembaca Utama, mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Undang-Undang Syariah, Awang Ahmad Danieel bin Abdul Haniff. Majlis disusuli dengan tayangan video inspirasi yang memaparkan kejayaan belia daripada pelbagai bidang yang berkonsepkan fiksyen digital.
Video ini memaparkan peranan belia dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 melalui kerjasama bersepadu bersama komuniti dan agensi. Dengan perpaduan sebagai asas, disokong iltizam dan jati diri kebangsaan, mereka berganding bahu menangani cabaran digital demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Turut menyerikan majlis, persembahan belia berbentuk doa yang direka khas untuk kesejahteraan raja dan negara.
Persembahan ini sebagai wadah untuk melahirkan rasa syukur dan taat setia generasi belia kepada pemimpin negara, di samping menjadi simbol perpaduan dan semangat patriotisme dalam mendoakan keberkatan, keamanan dan kemakmuran tanah air yang tercinta.
Acara kemuncak sambutan ialah penyampaian Anugerah HBK Ke-20, Tahun 2025 dalam tiga kategori iaitu Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia yang berkenan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Penerima Anugerah Belia Berkhidmat 2025 dianugerahkan kepada Dayang Nurul Izyan binti Anver dengan menerima sebuah trofi, sebidang Kain Bertabur Bunga Permata Bangsa, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000 dan Pakej Percutian ke Kuala Lumpur, Malaysia sumbangan dari Balurih Travel Sdn. Bhd.
Anugerah Pemimpin Muda Belia 2025 pula diberikan kepada Dayang Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah dengan menerima sebuah trofi, sebidang Kain Jong Sarat Bunga Kebahagiaan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000 dan Pakej Percutian ke Istanbul, Turkiye sumbangan dari Balurih Travel Sdn. Bhd. Penerima ini merupakan seorang pemimpin muda dan advokat yang aktif memperjuangkan kebajikan golongan Orang Kelainan Upaya, khususnya komuniti autisme.
Manakala Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia dianugerahkan kepada Jiwa Senja yang menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang tunai bagi perkembangan dan pembangunan projek sebanyak BND3,500 dan sumbangan wang tunai sebanyak BND500 dari Al-Nur Boutique. Projek ini merupakan untuk meringankan beban sistem kesihatan mental negara dengan menyediakan latihan 'peer supporters' yang efektif dan mampu milik.
Kajian menunjukkan sebanyak 85 peratus individu tidak memerlukan pakar kesihatan mental tetapi cukup hanya dengan adanya 'peer support' yang sekali gus membuktikan keberkesanan projek ini.
Projek ini meraih pengiktirafan antarabangsa, termasuk gelaran 'Penceramah Terbaik' di Simposium United Kingdom pada tahun 2019 dan menjadi rujukan di peringkat ASEAN-Australia. Dengan disokong oleh agensi kerajaan dan swasta, projek ini berperanan penting dalam membina masyarakat yang sihat mental, berdaya tahan dan produktif.
Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Hari Belia Kebangsaan di Ruang Legar pusat berkenaan yang melibatkan penyertaan sejumlah 20 pameran yang dibahagikan kepada empat kluster iaitu Kluster Pertama : Modal Insan / Generasi Profesional; Kluster Kedua : Ekspresi Kreatif dan Budaya; Kluster Ketiga : Teknovasi dan akhir sekali, Kluster Keempat : Sejahtera (Sosial, Kesihatan dan Sejahtera).
Baginda seterusnya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan dan berkenan menerima pesambah daripada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-20, Tahun 2025.
Setelah itu, baginda berserta kerabat diraja dijunjung bagi Majlis Santap. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda dan kerabat diraja dijunjung bagi sesi bergambar kenangan.
Tema Sambutan HBK Ke-20 pada tahun ini masih dikekalkan seperti tahun 2019, 2020, 2021, 2022, 2023 dan 2024 iaitu 'Belia Siaga Masa Depan'.
Belia adalah tonggak utama negara dalam menentukan hala tuju dan kemajuan negara pada masa hadapan. Komitmen dalam mempersiapkan diri belia dengan 'acuan' yang berkualiti adalah penting untuk melahirkan belia yang cemerlang. 'Belia Siaga Masa Depan' membawa mesej utama bahawa generasi muda perlu bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin berkembang.
Antara fokus utama bagi HBK tahun ini ialah ekonomi dan keperluan pekerjaan masa depan, belia perlu bersedia untuk meningkatkan kemahiran agar sentiasa relevan dan sejajar bagi keperluan pekerjaan pada masa depan dan kepekaan sosial serta inklusif, belia yang siaga masa depan ialah mereka yang cakna terhadap komuniti, peka terhadap isu sosial dan mampu memacu perubahan yang inklusif.
Keterlibatan belia dalam masyarakat dan kepimpinan serta daya tahan, belia bukan sekadar pengikut, mereka adalah pemimpin yang perlu diasuh dengan nilai integriti, empati dan kecekalan mental.
HBK jatuh pada 1 Ogos setiap tahun di mana para belia di negara ini berkumpul dengan tujuan yang bermakna. Pengisytiharan Hari Belia oleh Kebawah DYMM bagi 1 Ogos dijadikan sebagai HBK adalah satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap pergerakan belia di negara ini.
Dalam usaha membangun belia di negara ini, Kerajaan Kebawah DYMM sentiasa memberikan perhatian yang penuh melalui penyediaan berterusan program-program pembangunan kapasiti, kemudahan-kemudahan prasarana dan bantuan fizikal dan fiskal.
Selain daripada itu, HBK juga merupakan wadah kepada para belia untuk mengadakan perjumpaan khusus bagi menghargai sumbangan dalam pembangunan belia.
Objektif Sambutan HBK adalah untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para belia, di samping membarigakan kejayaan dan memartabatkan para belia negara serta dapat membangun potensi belia dalam pelbagai bidang. Ia juga sebagai platform untuk memacu transformasi belia ke arah pembangunan potensi.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto